Beberapa tahun yang lalu, saya telah ditawar untuk memegang jawatan sebagai ketua Biro sebuah agensi akhbar antarabangsa di Jakarta. Saya bercadang untuk pergi ke sana dua minggu lebih awal untuk menyesuaikan diri dan mengetahui sedikit sebanyak tentang negara tersebut bagi memudahkan tugas-tugas yang bakal saya jalankan nanti.
Tiba hari untuk berangkat saya dan isteri saya, Kathy dan anak lelaki kami, Andy, menaiki pesawat ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke Jakarta. Nasib tidak menyebelahi kami hari itu kerana keadaan cuaca yang tidak begitu baik. Akhirnya, pesawat Boeing 737 yang kami naiki sering kali bergegar di udara. Keadaan inilah yang menakutkan Andy dan menyebabkan dia terus mengeluarkan bantal busuknya dari dalam beg dan langsung memeluknya dengan erat.
Begitulah keadaannya setiap kali dia berasa takut. Hanya bantal busuk itulah yang dapat menenangkannya. Malah tanpa benda itu Andy tidak boleh tidur. Dia seolah-olah kehilangan sesuatu yang amat disayanginya dan akan menangis dengan kuat sehinggalah ia dijumpai. Ke mana saja Andy pergi dia akan membawanya bersama.
Saya masih ingat suatu ketika dahulu entah macam mana bantal itu tiba-tiba hilang. Puas kami mencarinya tapi tidak jumpa-jumpa juga. Kami menjadi semakin resah apabila tangisan Andy semakin kuat. Kami cuba menenangkannya dengan memberikan benda-benda lain dengan harapan dapat menarik perhatiannya. Tapi bantal itu juga yang dia inginkan.
Nasib baik tidak lama kemudian setelah puas mencari satu rumah Kathy menjumpainya. Rupa-rupanya anjing kami, Browny, menyembunyikannya dibelakang peti sejuk. Selepas itu barulah Andy dapat tidur dengan nyenyak.
Setelah beberapa minggu di Jakarta saya telah diarahkan untuk membuat satu liputan berita di Kalimantan. Saya telah diminta untuk ke sana dengan secepat mungkin.
Ketika saya sibuk mengemas barang, Andy mengekori setiap langkah saya dan bertanya banyak soalan seperti ke mana saya hendak pergi; bila saya akan pulang; pergi dengan siapa; untuk apa dan naik apa. Apabila dia mendengar saya akan menaiki pesawat dia kelihatan resah tapi disebabkan saya berada dalam keadaan yang tergesa-gesa untuk bersiap ke Lapangan Terbang, saya tidak sempat bertanya apakah yang membuatnya kelihatan muram dan resah. Beberapa minit kemudian, kereta dari pejabat Biro saya pun tiba untuk menghantar saya ke lapangan terbang.
Setibanya saya ke Kalimantan saya terus ke hotel untuk menghilangkan rasa penat sebelum memulakan tugas. Apabila membuka beg pakaian, saya terkejut melihat bantal busuk Andy ada dalam beg pakaian tersebut. Tanpa membuang masa saya menelefon Kathy. Saya resah seandainya Andy kini sedang menangis dengan kuat mencari bantalnya yang 'Hilang'.
Apabila Kathy mengangkat telefon saya terus memberitahunya bahawa bantal Andy ada bersama saya. Kathy pula tidak berasa terkejut malah dia memberitahu saya bahawa dia tahu 'Bantal Busuk' Andy berada di dalam beg pakaian saya.
Dia menerangkan bahawa ketika saya dalam perjalanan ke lapangan terbang pagi tadi, dia terus mangajak Andy untuk berdoa agar saya selamat dalam perjalanan. Selesai saja berdoa, Andy terus berkata " Jangan takut Mak, Andy sudah meletakkan bantal Andy ke dalam beg papa supaya dia selalu berada dalam keadaan yang selamat" - ^~^
0 comments:
Post a Comment